WhatsApp sedang bangunkan ciri bebenang perbualan untuk iOS.

WhatsApp dilaporkan sedang membangunkan ciri bebenang perbualan (threaded replies) khusus untuk digunakan dalam perbualan berkumpulan di peranti iOS. Untuk konteks, ia telah dibangunkan untuk Android sebelum ini namun masih belum dilancarkan kepada umum. Ia juga menyerupai ciri yang digunakan di Telegram bagi bantu menyusun perbualan secara sistematik dan mudah diikuti.

Dengan ciri bebenang ini, setiap balasan kepada mesej akan dikumpulkan dan dipaparkan secara tersusun di bawah mesej asal. Pengguna hanya perlu mengetik pada mesej yang ingin dibalas dan memilih pilihan balas untuk memulakan satu bebenang baharu. Semua balasan berkaitan kemudiannya akan dikumpulkan dalam satu bebenang khas yang dihubungkan secara terus dengan mesej tersebut.

Dengan perbualan yang lebih kemas, pengguna dapat mengelakkan kekeliruan akibat balasan yang berselerak. Ia juga dijangka boleh memberi manfaat kepada pelbagai jenis perbualan termasuk individu, kumpulan, komuniti dan saluran (channels). Namun begitu, ia masih dalam fasa pembangunan dan tarikh pelancaran rasminya masih belum diumumkan.

  • wabetainfo