Tecno kini meluaskan barisan peranti di bawah siri Pova 7 menerusi pelancaran dua model baharu iaitu Tecno Pova 7 dan Tecno Pova 7 Pro di pasaran India. Kedua-dua peranti ini direka dengan ciri menarik khususnya menerusi penggunaan sistem Delta Light Interface.

Ciri ini berbentuk jalur LED segi tiga yang mengelilingi modul kamera dan menyokong sehingga 104 jenis pencahayaan LED yang berbeza. Sistem ini juga boleh digunakan untuk memaparkan pemberitahuan bagi ciri seperti panggilan masuk, pemain muzik, pengecasan peranti dan permua.
Kedua-dua peranti dijana oleh cip Mediatek Dimensity 7300 Ultimate, bersama pilihan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Dari segi perisian, Pova 7 dan Pova 7 Pro menggunakan HiOS 15 yang berasaskan sistem operasi Android 15. Perisian ini turut menyokong fungsi DeepSeek serta hadir dengan pembantu maya dikenali sebagai Ella yang boleh bantu pengguna dalam tugasan harian.

Peranti turut dikuasai oleh bateri berkapasiti besar 6000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W. Menariknya bagi model Pova 7 Pro, terdapat juga sokongan pengecasan nirwayar 30W di mana satu kelebihan yang membezakan model ini daripada versi biasa.
Walaupun kedua-dua model ini kelihatan serupa dari segi luaran, terdapat beberapa perbezaan ketara dari segi paparan dan kamera. Tecno Pova 7 hadir dengan skrin IPS LCD bersaiz 6.78 inci menyokong resolusi FHD+ dan kadar segar semula 144Hz. Kecerahan maksimum yang ditawarkan adalah sehingga 900 nits. Untuk fotografi, ia dilengkapi kamera utama 50MP.

Sebaliknya, Tecno Pova 7 Pro menawarkan pengalaman yang lebih baik dengan penggunaan skrin AMOLED bersaiz 6.78 inci dengan resolusi FHD+. Paparan ini turut menyokong kadar segar semula 144Hz serta kecerahan maksimum yang mencecah sehingga 4,500 nits. Untuk kamera, model ini dilengkapi sensor utama Sony IMX682 64MP yang diiringi lensa ultralebar 8MP.