Pemasangan perisian anti virus ialah kewajipan jika anda menggunakan PC. Paling kurang sekalipun Windows Defender diaktifkan dan dikemaskini dengan kerap bagi memastikan keselamatan terjamin. Tetapi kini beberapa penyelidik bersedia untuk mendedahkan perisian hasad dengan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan untuk mengelak ia dikesan oleh perisian anti virus.

Sekumpulan penyelidik sekuriti yang menggelarkan diri mereka Outflank bercadang memperlihatkan perisian hasad dengan AI mereka di acara Black Hat 2025 pada Ogos depan. Menurut Outflank mereka melatih model AI berasaskan model Qwen 2.5 yang dibangunkan oleh Alibaba selama tiga bulan. Dalam ujian yang dilakukan setakat ini, perisian hasad dengan AI yang dibangunkan mampu mengelak dikesan Windows Defender dengan kadar kejayaan 8%.
Peratusan yang rendah tetapi lebih tinggi berbanding 1% apabila menggunakan model Anthropicdan hanya 0.5% apabila menggunakan model DeepSeek. Outflank sedang melakukan latihan AI seterusnya bagi membolehkan perisian hasad mereka ini semakin sukar dikesan perisian anti virus.
- Dark Reading