HoloMem perkenal storan holografik untuk ganti pita magnetik jangka panjang.

Teknologi storan kini dilihat semakin maju, dengan pilihan pengguna dan syarikat-syarikat dilihat semakin tinggi, bergantung kepada keperluan mereka. Terkini, sebuah syarikat pemula teknologi storan yang bernama HoloMem dilihat mahu menggantikan storan pita magnetik sebagai pilihan storan jangka masa panjang.

Secara ringkasnya, syarikat ini mahu memperkenalkan storan yang menggunakan riben holografik untuk menyimpan data yang lebih banyak, untuk jangka masa yang lebih lama. Charlie Gale, pengasas HoloMem telah mencipta pelekat hologram sekuriti sewaktu bekerja di Dyson, dan kini memegang paten untuk teknologi tersebut.

Ciri hologram ini pada mulanya digunakan untuk memperlihatkan kod QR holografik multiplex yang dinamakan HO1O yang membolehkan dua kod QR untuk ditindih dan digunakan sebagai satu cara untuk mengesahkan kesahihan sebuah produk.

Menariknya, beliau juga mendapati bahawa teknologi holografik ini boleh ditindih banyak kali, yang membolehkannya digunakan sebagai sejenis storan. Dan dari situlah idea untuk menubuhkan HoloMem sebagai sebuah syarikat pembangun storan dihasilkan.

Kelebihan yang diperlihatkan oleh teknologi storan seperti Cerabyte dan Project Silica yang menggunakan kaca sebagai medium storan ialah ia memerlukan perkakasan laser yang berkuasa tinggi, dan mempunyai kos pembangunan yang mahal.

Untuk HoloMem, walaupun ia secara teknikalnya memerlukan cahaya untuk menulis dan membaca data, sumber cahaya yang diperlukan adalah seperti cahaya infra-merah yang sudahpun boleh dihasilkan dengan harga murah.

Kelebihan menggunakan storan “holografik” ini ialah ia bukan sahaja boleh menyimpan jumlah data yang banyak, tetapi juga mempunyai tempoh penyimpanan data yang lebih lama berbanding dengan pita magnetik. Dimana storan pita magnetik secara lazimnya boleh menyimpan kira-kira 18TB data dalam satu katrij dan bertahan selama 10 ke beberapa belas tahun, HoloMem mengatakan storan mereka mempunyai potensi penyimpanan data sebanyak 200TB untuk setiap katrij dengan jangka hayat selama 50 tahun.

Satu lagi kelebihan yang diperlihatkan melalui penawaran HoloMem ialah produk storan mereka akan menyokong teknologi storan sedia ada, dan pemilik perniagaan atau pusat data tidak perlu menaiktarafkam mesin pelayan untuk menggunakan storan ini.

Teknologi ini masih lagi sedang dibangunkan, dan buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah storan HoloMem ini akan diperkenalkan ke pasaran.

  • Blocks and Files, HoloMem