GoPro dan Insta360 terlibat dalam pertikaian paten teknologi pengimejan.

Pada tahun lepas, GoPro, syarikat pembuat kamera aksi dari Amerika Syarikat telah melaporkan kepada International Trade Commission (ITC) bahawa Insta360, sebuah lagi syarikat pembuat kamera aksi kerana melanggar paten teknologi pengimejan mereka, khususnya untuk teknologi-teknologi SuperView, lens maya, HyperSmooth dan Horizon Leveling.

Ia adalah teknologi-teknologi pengimejan yang digunakan pada peranti kamera aksi GoPro Hero, dan juga kamera 360 darjah GoPro Max 360. Pihak ITC baru-baru ini mengumumkan penentuan awal yang mengatakan bahawa Insta360 bukan sahaja telah melanggar paten-paten yang diperkatakan, tetapi juga telah melanggar paten rekaan peranti GoPro HERO, mungkin melalui kamera Insta360 Ace 2.

Pihak Insta360 juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai pengumuman ini, dan mengatakan bahawa keputusan yang diberi memihak terlalu berat kepada pihak GoPro, khususnya kerana teknologi yang diperkatakan tersebut adalah sesuatu yang sudahpun diperlihatkan pada banyak kamera-kamera aksi lain.

Walaupun begitu, oleh kerana pengumuman ini merupakan penemuan awal, produk-produk Insta360 masih lagi boleh dijual di pasaran Amerika Syarikat buat masa ini. Pihak GoPro mengatakan penemuan muktamad akan diperlihatkan oleh pihak ITC pada 10 November 2025, dimana mereka juga akan membuat keputusan berkenaan jualan produk Insta360 di Amerika Syarikat.

  • The Verge, Insta 360