Honor secara rasmi mengesahkan bahawa telefon boleh lipat terbaharunya Magic V5 akan dilancarkan di Malaysia pada 15 Julai 2025. Menarik perhatian ramai, peranti ini tampil dengan reka bentuk nipis hanya 8.8mm apabila dibuka yang diumpamakan seperti sekeping syiling 50 sen atau tiga kad bank. Ia sekali gus menjadikannya antara telefon boleh lipat paling nipis dan mesra pengguna pernah diperkenalkan.

Walaupun hadir dengan rekaan yang ultra nipis, Magic V5 dilengkapi bateri besar 5820mAh berasaskan karbon silikon. Ia menyokong pengecasan pantas 66W serta nirwayar 55W yang digabungkan dengan cip Honor E2 bagi memastikan kecekapan tenaga yang optimum. Sistem kameranya turut dipertingkat melalui sensor telefoto 64MP yang menyokong zum digital sehingga 100X.
Ia turut dilengkapi dengan teknologi AI Imaging seperti AI Super Zoom, dan AI Enchanced Portrait untuk pengalaman lebih baik. Untuk suntingan pasca rakaman pula, peranti juga menyediakan pelbagai pilihan ciri AI Editing seperti AI Cutout, AI Eraser, AI Outpainting, dan AI Upscale bagi menghasilkan foto lebih menarik.

Untuk katahanan lebih baik, Magic V5 dilengkapi paparan yang dilapisi Honor Anti-scratch NanoCrystal Shield, manakala panel belakangnya menggunakan gentian khas industri aeroangkasa berasaskan carbon fiber. Ia turut melepasi piawaian IP58 untuk kalis air dan IP59 bagi perlindungan terhadap habuk serta percikan air.
Untuk maklumat lanjut termasuk harga rasmi, nantikan pelancaran Honor Magic V5 pada 15 Julai 2025.