Samsung Galaxy Z Fold7 dan Z Flip7 baru sahaja dilancarkan minggu lalu di Unpacked. Walaupun peranti masih lagi baharu, sudah kedengaran ura-ura mengenai siri Galaxy S26 yang akan dilancarkan pada Januari tahun depan. Menurut laporan The Elec, siri Samsung Gaalxy S26 kelak tidak akan ditawarkan dengan model Plus.
Sebaliknya hanya model Samsung Galaxy S26, Samsung Galaxy S26 Edge dan Samsung Galaxy S26 Ultra sahaja akan ditawarkan kepada pelanggan. Dengan ini pengguna hanya ditawarkan versi paling premium Ultra dengan skrin terbesar 6.89″, peranti dengan skrin kompak 6.27″ dan peranti ketiga yang mempunyai tubuh ultra nipis serta skrin 6.66″.

Ini menurut The Elec adalah berdasarkan komponen yang mula dipesan menerusi rantaian bekalan sebelum pengeluaran peranti dimulakan. Tahun ini Galaxy S25 Ultra ialah model yang paling mendapat sambutan dalam siri Galaxy S25. Selepas beberapa tahun menawarkan peranti kitar semula, tahun depan Samung tidak lagi boleh dimaafkan jika melakukannya sekali lagi.
Penawaran Galaxy S25 Edge masih terhad ke beberapa pasaran sahaja dengan sambutan dilaporkan kurang memberangsangkan. Secara peribadi saya sangat suka dengan Galaxy S25 Edge kerana ianya ringan dan nipis tetapi masih terasa premium dalam tangan tetapi kapasiti baterinya pula terlalu kebulurhan. Tahun depan jika bateri lebih besar boleh ditawarkan, mungkin siri Edge akan akhirnya menerima sambutan.