Spesifikasi Samsung Galaxy S26 Ultra tertiris sebelum pelancaran rasmi.

Samsung akan melancarkan siri peranti boleh lipat mereka, Samsung Galaxy Z Fold 7 dan Samsung Galaxy Z Flip 7 dalam masa dua hari sahaja lagi, tetapi butiran spesifikasi untuk peranti mercu mereka pada tahun hadapan, Samsung Galaxy S26 Ultra nampaknya telah tertiris ke arena web.

Terkini, seorang peniris maklumat peranti, PandaFlashPro di X/Twitter telah meniriskan sejumlah butiran tentang peranti pintar mercu tersebut, seperti CPU yang akan digunakan, butiran bateri dan juga modul kamera.

Pertama ialah CPU yang akan menguasakan peranti ini. Dimana Samsung Galaxy S26 dan Samsung Galaxy S26+ dijangka akan menggunakan cip pemprosesan Samsung Exynos 2600 yang akan dibina menggunakan proses 2nm Samsung sendiri, model Samsung Galaxy S26 Ultra dikatakan akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite 2.

Dari segi penawaran memori dan storan pula, peranti tersebut akan hadir dengan 16GB memori LPDDR5X dan pilihan storan 256GB sehingga 1TB, sama seperti penawaran memori dan storan pada Samsung Galaxy S25 Ultra.

Bateri peranti ini juga dilihat hadir dengan kapasiti 5000mAH dan pengecasan pantas 45W yang sama seperti sebelum ini, tetapi dikatakan akan hadir dengan kecekapan penggunaan kuasa yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy S26 Ultra masih akan menggunakan sistem penyejukan kebuk wasap yang 20 peratus lebih besar daripada apa yang digunakan pada Samsung Galaxy S25 Ultra. Dari segi ciri-ciri lain, ia juga akan tampil dengan sokongan untuk sambungan WiFi 7 dan pengecasan nirwayar Qi2 yang diperkenalkan pada peranti-peranti pintar Samsung bermula tahun ini.

Samsung Galaxy S26 Ultra juga dilaporkan masih akan mengekalkan sistem kamera empat lensa sama seperti apa yang digunakan pada Samsung Galaxy S25 Ultra, tetapi dengan lensa yang berbeza. Orientasi lensa kamera juga dilihat tidak akan berubah, tetapi Samsung mungkin akan mengubah rekaan bulatan di sekeliling lensa-lensa tersebut.

Dari segi rekaan peranti, Samsung Galaxy S26 Ultra dijangka hadir dengan rekaan badan sedikit lebih nipis, tetapi dijangka akan mengekalkan saiz paparan 6.9 inci yang digunakan pada peranti Galaxy S25 Ultra.

Spesifikasi-spesifikasi ini dilihat boleh berubah pada bila-bila masa, tetapi menurut ciapan PandaFlashPro sendiri, dia mengatakan bahawa spesifikasi ini sudah sedikit sebanyak disahkan akan digunakan pada peranti mercu tersebut.

Seperti biasa, Samsung dijangka akan memperkenalkan siri peranti pintar Samsung Galaxy S26 pada awal tahun 2026.

  • Notebookcheck, PandaFlashPro